BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Amaran: Blog ini hanya untuk kepuasan hati pemiliknya sahaja, tidak akademik, islamik dan politik..

Friday, August 28, 2009

Memandang Dan Dipandang..


Ya Allah, betapa lama aku tidak mengirimkan khabar beritaku kepadamu.. Aku merindu, dan ingin dirindu selalu.. Sekali-sekali aku rasakan aku tidak lagi mampu memikul amanah daripadamu.. Kerana dunia ini penuh dengan nafsu, seringkali membuat aku bertindak melulu..

Aku mengerti akan hakikat introspeksi diri yang dibuat saban hari.. Aku nampak di mana kelompangan, di mana halangan.. Aku cuba, dan terus mencuba membina mahligai diri, namun aku bimbang tiadalah ia mampu berdiri.. Tiadalah hidup aku di dunia ini dengan sendiri, melainkan penuh dengan manusia di kanan dan kiri.. Aku mencari, namun sering dihalangi..

Kenapa tiada yang mengerti diri ini..? Kenapa tiada yang memberi ruang untuk diisi..? Kenapa seringkali aku jatuh setelah berdiri..?

Tembok kekuatan yang aku bina sebagai penghadang, namun harus aku ingat tidak mustahil ada yang menerjang.. Segala apa yang aku mampu usahakan aku jadikan pedoman, namun pasti ada yang melontarkan pandangan.. Hidupku dalam rantauan yang aman, namun pasti ada yang melakukan kefasadan..

Ya Allah, aku hanya mampu menjaga diri, namun tiada aku mampu mengawal mereka yang empunya diri.. Adalah aku mengharapkan perlindungan dalam hidup ini, supaya rebah nanti bangun kembali.. Jati diri yang aku bina selama ini, semoga kekal utuh abadi dan sentiasa dirahmati..

Vertical bukan horizontal..


Aku sentiasa merenung akan setiap muamalat antara manusia itu, di manakah ikatannya..? Mata yang saling melihat hanya mampu bertahan buat seketika.. Tangan yang memegang akhirnya terlepas jua.. Lidah yang berjanji hanya untuk dimungkiri akhirnya..

Kadang-kadang antara aku dan mereka wujud perasaan benci, perasaan hasad dengki, perasaan tidak puas hati, dan kadang-kadang juga antara aku dan mereka wujud perasaan rindu, sayang, cinta.. Aku keliru tentang hakikatnya..
Di manakah sebenarnya timbul perasaan dan tautan yang seakan-akan khayalan ini..?

Hati..
Hati yang sentiasa berbicara, hati yang sentiasa melihat dan hati lah yang sentiasa memegang.. Jauhnya aku dgn dirimu sama jaraknya antara aku dengan manusia lain, tinggal kepada kamu untuk meletakkan garis penamatnya.. Aku berdiri di ufuk selatan, aku lihat dikau berdiri di ufuk utara.. Aku terbaring di sebelah barat, rupanya dikau ku lihat terbaring di sebelah timur.. Di mana sahaja aku berada, dikau sentiasa di sisi..

Satelit di atas, memberi dan menerima.. Aku menghantar isyarat, ia menahan.. Lalu dipancarkan kepada sasaran.. Dikau juga menghantar, maka ia menahan.. Lalu dipancarkan kepada sasaran.. Kini baru ku mengerti, apakah sebenarnya yang tersirat di hati.. Setiap luahan ku didengari, walau tidak pernah ku zahirkan kepada sesiapa cuma diri sendiri.. Kerana di atas itu, ada yang menerima dan memberi..

Patah tumbuh hilang berganti, tiada jauh andai berbakti..

Thursday, August 6, 2009

Kewajipan Dalam Kenikmatan..


Semakin ku hitung, semakin tidak terhitung.. Semakin ku bilang, semakin tidak terbilang.. Semakin ku kira, semakin tidak terkira.. Betapa banyaknya nikmat di sekelilingku yang aku sendiri tidak menyedari akan kewujudannya.. Mataku dapat melihat, namun tidak aku tundukkan pandangan.. Telingaku dapat mendengar, namun tidak aku pelihara daripada kebohongan.. Lidahku dapat berkata-kata, namun tidak aku menjaga daripada nista.. Terasa diri aku begitu hina..

Namun begitu, nikmatku tetap bertambah, sayang perangaiku tidak berubah.. Allah memberi, ku sangkakan nikmat dari hasil kendiri.. Ramai manusia yang serba kekurangan di sisi, tapi aku pentingkan diri sendiri.. Hidup sentiasa berjoli, aku lupa siapa yang memberi.. Zahirnya aku nampak, batinnya aku tercampak..

Peluang ke negara orang hanyalah kembara di bumi Tuhan untuk mengambil pengajaran dan pengiktibaran.. Setiap kelebihan yang ada harus aku kongsi dengan setiap yang kekurangan.. Wang, peluang, bukan milik aku seorang.. Terutamanya kepada mereka yang berjuang, harus aku utamakan, harus aku berkorban, kerana aku seorang insan yang punyai impian dan wawasan, namun perjuangan tetap perjuangan..

Bukan minta pengertian dan perhatian daripada orang, cuma aku suka meluahkan.. Esok lusa ku jadikan tatapan, masa akan datang ku jadikan kenangan.. Dalam sebahagian harta itu ada sebahagian milik mereka yang memerlukan..

Satu Pandangan Ukhwah..

Diperihalkan akan aku tinggal dalam khalayak ramai, bergelak ketawa suara pecah berderai.. Terasa begitu mesra ibarat sudah kenal lama dan akan kekal bersama.. Segalanya dilakukan dengan hati yang terbuka, memberi dan menerima senantiasa..

Dalam suasana yang penuh bahagia sedemikian rupa, aku lupa akan satu perkara.. Kebahagiaan itu datangnya daripada siapa, tetapi aku masih lagi alpa.. Hajat di hati ingin meraikan hati semua manusia, dengan alasan merekalah tempat aku mengadu-domba.. Siapakah sebenarnya tempat pergantungan..?

Tatkala kita gembira, siapakah yang memberi perasaan itu..? Tatkala kita bersedih, siapakah yang memberi perasaan itu..? Semasa gembira, dengan manusia kita bersuka-ria.. Semasa berdukacita, kepada Allah kita bercinta.. Adilkah atau zalimkah..?

Aku bertegas bukan memberontak, kerana aku tidak lagi mahu hidup dalam kaca yang retak.. Kawan hanya sekadar kawan, teman hanya sekadar teman.. Aku tidak ingin hidup dijadikan permainan.. Ukhwah tidak boleh disalah ertikan dan dijadikan alasan dalam kealpaan.. Aku muak dengan segala alasan..

Ya Allah, tunjukilah aku akan kebenaran.. Cukuplah semua kesilapan yang aku lakukan.. Matangkanlah aku dalam setiap perbuatan, ikhlaskan aku dalam setiap amalan.. Masukkanlah aku ke dalam syurga impian, jauhilah aku dari neraka jahannam..

Monday, July 27, 2009

Keseronokan Yang Memperdaya..


Pencarian hidupku dalam dunia hiburan sentiasa berterusan dengan banyak alasan.. Namun begitu, bukan maksudku akan hiburan itu semestinya perkara yang melalaikan tetapi mungkin juga sesuatu yang menambahkan keimanan.. Cumanya pengertian hiburan itu yang sentiasa berbeza mengikut pandangan..

Aku seronok tatkala bersama kawan-kawan, bergurau senda dan bergelak ketawa.. Mengecapi saat-saat indah bersama ketika di luar negara merupakan antara perkara yang tidak mungkin aku lupa.. Tetapi ada perkara yang aku sering terlupa..
Keseronokan itu selalu memperdaya..

Ketawa kami dalam kedustaan, bersama kami dalam kenistaan, keseronokan kami menjauhkan diri daripada Tuhan.. Padahal aku hanya mencari hiburan, kenapa begitu jauh sekali perjalananku dari asalan.. Disebabkan itu, aku sentiasa keliru.. Aku tidak mampu menzahirkan perkara yang tersirat di fikiran dengan tulisan, apatah lagi secara lisan.. Bukannya mengharap diri ini difahami, kerana padaku pemergianku bukan untuk ditangisi, kehadiranku bukan untuk diiringi.. Pening, serabut, tidak puas hati..

Apakah yang perlu aku cari..?
Ya Allah, hanya Engkau yang mengerti apa yang tersirat di hati..

Thursday, July 23, 2009

Satu Titik Hitam..


Aku memandang sama seperti manusia lain, cuma mungkin pandanganku berbeza.. Pengertianku pada setiap pandangan membawa bermacam erti yang aku sendiri pun tidak pasti.. Seringkali aku berfikir ke sudut manakah harus aku layarkan pandanganku agar mendapat erti yang hakiki..


Hujan turun di kaki bukit membawa rahmah, menyuburkan tanaman padi huma dan sawah.. Turunnya hujan di felda menyebabkan manusia tidak dapat menoreh getah.. Kereta mewah mampu memberi keselesaan, dalam masa yang kos penyeliaan turut memeritkan.. Andai manusia dapat terbang tentu kesesakan jalan raya dapat dielakkan, tetapi pastikah selepas itu tiada lagi kemalangan..?

Kenapa setiap kali seseorang manusia itu melakukan kesalahan, perkara itulah yang sering dibicarakan..? Manusia sememangnya seringkali lupa tetapi bukan itu alasannya untuk kita sering mengata..

Hanya satu titik hitam, kulihat ia bertukar menjadi nila.. Dan bukan nila itu yang merosakkan susu sebelanga, bahkan akulah yang merosakkannya kerana menukar titik hitam itu kepada nila.. Hakikatnya, titik hitam dan nila merupakan perkara yang sangat berbeza.. Ku sedar titik hitam sebagai satu pepejal, tidak mengalir mahupun bergerak.. Nila pula merupakan satu cecair yang sifatnya mengalir, menyerap dan menukarkan..

Hatiku yang gelap mendorongku untuk sentiasa mencari kesalahan insan.. Layar putih yang luas di hadapan yang kunampak hanyalah satu titik hitam.. Kenapa harus begitu..?
Aku dalam kekeliruan..

Sunday, July 19, 2009

Keluasan Yang Disempitkan..

Satu perkara yang aku tidak mengerti tentang hati manusia yang ingin membentuk peribadi tersendiri.. Mengidamkan pakaian yang cantik serta mahkota yang indah untuk dipakai di singgahsana tetapi tidak mandi dan lupa gosok gigi.. Apakah ertinya..?


Kononnya berada di bumi Anbia' membuka 1001 peluang untuk mencari nilai-nilai Islamik bagi memenuhi hak sebagai seorang pejuang.. Talaqqi di sana sini sambil membawa kitab ibarat menjunjung pedang di medan perang.. Itulah peribadi yang didambakan, sangkaan seolah-olah memenuhi tuntutan Islam..

Namun begitu, dapur di rumah tiada masakan.. Peti dibiarkan kekosongan, mengharap teman membeli barangan.. Kepunyaan orang dianggap perkongsian, kepunyaan sendiri sentiasa disorokkan.. Rumah kotor dan bersepah dianggap kebiasaan.. Hidupnya keriangan dalam kesengsaraan teman.. Kepintaran yang dianugerahkan Tuhan membuatkan tenggelam dalam lamunan..

Aku mula terfikir bagaimanakah sebenarnya akhlak Islami yang diidamkan-idamkan..? Adakah aku akan mencemar duli menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran sedangkan di singgahsana kerabatku kelaparan dan kehausan..? Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.. Sampai sekarang aku masih tidak mendapat jawapan..

Di masa hadapan aku akan melakukan perubahan.. Aku harapkan agar dihimpunkan dalam kalangan jiwa-jiwa yang mempunyai kesedaran, yang bersamaku dalam kesenangan dan kesusahan.. Tatkala diri ini sepi mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, aku yakin di sana tersirat satu erti..
Terhakis gunung dek air membentuk lautan..

Saturday, July 18, 2009

Kecantikan Pada Akal..


Aku melihat pada alam bukan untuk memberi komentar, jauh sekali ingin mencari kelemahan ciptaan Tuhan.. Bertafakkurnya aku akan setiap kejadian itu, menimbulkan seribu satu persoalan akan hakikat kejadian makhluk..


Ku lihat seorang gadis yang begitu cantik pada pandanganku, bertudung litup berjubah kelambu.. Dalam waktu yang sama seorang manusia lain memandang akan seorang wanita yang cantik, berbaju adik berperangai gedik-gedik.. Aku mula berfikir, di manakah sebenarnya terletak kecantikan itu..?

"Beauty lies on the eyes"..?
Daripada mata, jatuh ke otak.. Otak mula mentaksir, hati memberi isyarat.. Andai kata lembu melihat seorang wanita, di manakah jatuhnya kecantikan itu..? Aku sebagai manusia mengharapkan akal yang berpandukan iman untuk menilai akan setiap kejadian.. Memandang dan dipandang, kecantikannya bergantung pada akal yang memutuskan.. Dan bagiku, ketinggian akal itu sebenarnya bergantung pada tahap keimanan..

Berdiri di hadapanku seorang yang alim, berkulit gelap muka berjerawat.. Tatkala aku memandangnya seolah-olah wujud sinar cahaya pada jasadnya, yang hitam menjadi putih, yang kesat menjadi licin.. Aku melontarkan pandangan kepada seorang tua berpakaian usang, suaranya berkumandang mengalunkan Al-Quran.. Bertambah bagiku erti kecantikan.. Terserempak aku seorang wanita berjubah hitam menundukkan pandangan, mendorong aku bertasbih kepada Pencipta Alam.. Bagiku di situlah letaknya erti kecantikan..

Ya Allah, sebagaimana Engkau cantikkan rupa parasku, Engkau cantikkanlah akan akhlakku..

Membina Singgahsana Idaman..

Rumahku berlantai simen, sejuk apabila dipijak.. Sungguh selesa.. Ku jenguk ke Negeri Sembilan, ku lihat rumah minangkabau.. Cantiknya atap rumah itu.. Ku singgah di Kuala Lumpur, tersergam indah pagar rumah banglo.. Ku jejak kaki ke Sarawak, penuh berseni dinding rumahnya.. Ku terbang ke bumi Ardhul Kinanah', adanya sutoh di imarah.. Alangkah indahnya jika aku mempunyai sebuah singgahsana lengkap dengan setiap ciri yang ku kagumi itu..


Namun begitu, adalah sangat mustahil untuk menjumpai sebuah kediaman yang setiap cirinya mengikut keinginan hati..

Aku melihat kepada orang kaya yang kedekut, maka aku berazam menjadi kaya dan membuang sifat kedekut itu.. Aku melihat orang alim yang sombong, maka aku berazam menjadi alim dan menjauhi sifat sombong itu.. Aku melihat orang cantik yang menunjuk-nunjuk, maka aku berazam menjadi cantik dan menyembunyikan kecantikan itu kecuali untuk mahramku..

Aku tidak ingin menjadi seorang raja yang memiliki sebuah singgahsana yang indah, tetapi aku ingin menjadi singgahsana itu sendiri, agar ruang hatiku dapat dihuni oleh permaisuriku dengan senang hati..
Akanku mencari nilai-nilai murni daripada setiap jiwa insani untuk ku satukan membentuk peribadi sendiri..

Peribadi Yang Tersembunyi..



Kenapa wujud pokok yang tinggi..? Kenapa wujudnya golongan atasan..? Kenapa ada cuaca panas..? Kenapa adanya terang..?

Jutaan soalan lagi lagi boleh dilontarkan dalam situasi yang sama.. Persoalannya, kenapa berlaku demikian..?



Itulah peribadi yang tersembunyi, yang sering tidak kita sedari, yang membuatkan kita mempunyai spekulasi sendiri, padahal hakikat kehidupan ini mempunyai banyak erti..

Aku melihat pada gunung Kinabalu, baru ku tahu Gunung Everest itu tinggi.. Aku bangun di siang terang, baru ku tahu adanya malam kelam.. Aku melihat pada kejahilan, baru ku tau banyaknya cendekiawan dan ilmuan..

Hakikatnya, Allah Taala menjadikan sesuatu itu indah, bergantung pada kita untuk membuat nilai ukurannya.. Kita tinggi dalam kalangan rendah, kita alim dalam kalangan jahil, kita kuat dalam kalangan lemah.. Adakah kita sedar, bahawa kita juga rendah dalam kalangan tinggi, jahil dalam kalangan ulama', lemah dalam kalangan kuat..?

Tatkala kita merasakan kita mempunyai kelebihan, pandanglah kepada mereka yang mempunyai kelemahan, agar kita tidak menyalahgunakan anugerah Tuhan.. Tatkala kita merasa lemah, ketahuilah bahawa masih ramai lagi yang lebih lemah daripada kita, agar kita tidah putus asa daripada rahmah Tuhan..
Malam akan hilang tatkala terbitnya mentari..

Titik Permulaan..


Alhamdulillah, segala puji ku rafa'kan kehadrat Ilahi, selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah Habibullah S.A.W, juga ke atas kerabat dan sahabat Baginda sekaliannya..
Pada hari ini aku mencoretkan satu titik bukan sebagai noktah, bahkan sebagai permulaan kehidupanku di alam maya.. Aku menulis bukan untuk dibaca, mempamerkan bukan untuk dilihat, menzahirkan bukan untuk diterima.. Cuma aku inginkan meluahkan segala yang tersirat di hati, untuk dikongsi bersama jiwa-jiwa yang boleh diisi, bunga-bunga cinta yang mekar mewangi, ayat-ayat cinta yang indah bersemi, mawar berduri pilihan hati dan permata yang menyinari hidup ini..

Memberiku bukan untuk balasan, kesalahanku untuk diperbetulkan, taubatku menambah ketaqwaan, tingkahku sebagai cerminan.. Senyumanmu, membawa kebahagiaan..
Tak kenal maka tak cinta, ta'ruf pembuka bicara.. Seorang hamba di permusafiran, sentiasa kesepian dalam keramaian.. Senyumku dalam kedukaan, kebahagiaan sahabat membawa keriangan.. Mencari ilmu di negara orang, dengan harapan membawa sinaran.. Umur yang tidak melambangkan kematangan, rupa yang tidak melambangkan kedudukan..
Luahanku bukan untuk difahami, kerana hanya aku sendiri yang lebih memahami..
Ya Allah, tunjukilah aku kebenaran itu tetap kebenaran dan dorongilah aku untuk mengikutinya, tunjukilah aku akan kebatilan itu tetap kebatilan, dan dorongilah aku untuk menjauhinya..