BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Amaran: Blog ini hanya untuk kepuasan hati pemiliknya sahaja, tidak akademik, islamik dan politik..

Sunday, July 19, 2009

Keluasan Yang Disempitkan..

Satu perkara yang aku tidak mengerti tentang hati manusia yang ingin membentuk peribadi tersendiri.. Mengidamkan pakaian yang cantik serta mahkota yang indah untuk dipakai di singgahsana tetapi tidak mandi dan lupa gosok gigi.. Apakah ertinya..?


Kononnya berada di bumi Anbia' membuka 1001 peluang untuk mencari nilai-nilai Islamik bagi memenuhi hak sebagai seorang pejuang.. Talaqqi di sana sini sambil membawa kitab ibarat menjunjung pedang di medan perang.. Itulah peribadi yang didambakan, sangkaan seolah-olah memenuhi tuntutan Islam..

Namun begitu, dapur di rumah tiada masakan.. Peti dibiarkan kekosongan, mengharap teman membeli barangan.. Kepunyaan orang dianggap perkongsian, kepunyaan sendiri sentiasa disorokkan.. Rumah kotor dan bersepah dianggap kebiasaan.. Hidupnya keriangan dalam kesengsaraan teman.. Kepintaran yang dianugerahkan Tuhan membuatkan tenggelam dalam lamunan..

Aku mula terfikir bagaimanakah sebenarnya akhlak Islami yang diidamkan-idamkan..? Adakah aku akan mencemar duli menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran sedangkan di singgahsana kerabatku kelaparan dan kehausan..? Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.. Sampai sekarang aku masih tidak mendapat jawapan..

Di masa hadapan aku akan melakukan perubahan.. Aku harapkan agar dihimpunkan dalam kalangan jiwa-jiwa yang mempunyai kesedaran, yang bersamaku dalam kesenangan dan kesusahan.. Tatkala diri ini sepi mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, aku yakin di sana tersirat satu erti..
Terhakis gunung dek air membentuk lautan..