BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Amaran: Blog ini hanya untuk kepuasan hati pemiliknya sahaja, tidak akademik, islamik dan politik..

Saturday, July 18, 2009

Kecantikan Pada Akal..


Aku melihat pada alam bukan untuk memberi komentar, jauh sekali ingin mencari kelemahan ciptaan Tuhan.. Bertafakkurnya aku akan setiap kejadian itu, menimbulkan seribu satu persoalan akan hakikat kejadian makhluk..


Ku lihat seorang gadis yang begitu cantik pada pandanganku, bertudung litup berjubah kelambu.. Dalam waktu yang sama seorang manusia lain memandang akan seorang wanita yang cantik, berbaju adik berperangai gedik-gedik.. Aku mula berfikir, di manakah sebenarnya terletak kecantikan itu..?

"Beauty lies on the eyes"..?
Daripada mata, jatuh ke otak.. Otak mula mentaksir, hati memberi isyarat.. Andai kata lembu melihat seorang wanita, di manakah jatuhnya kecantikan itu..? Aku sebagai manusia mengharapkan akal yang berpandukan iman untuk menilai akan setiap kejadian.. Memandang dan dipandang, kecantikannya bergantung pada akal yang memutuskan.. Dan bagiku, ketinggian akal itu sebenarnya bergantung pada tahap keimanan..

Berdiri di hadapanku seorang yang alim, berkulit gelap muka berjerawat.. Tatkala aku memandangnya seolah-olah wujud sinar cahaya pada jasadnya, yang hitam menjadi putih, yang kesat menjadi licin.. Aku melontarkan pandangan kepada seorang tua berpakaian usang, suaranya berkumandang mengalunkan Al-Quran.. Bertambah bagiku erti kecantikan.. Terserempak aku seorang wanita berjubah hitam menundukkan pandangan, mendorong aku bertasbih kepada Pencipta Alam.. Bagiku di situlah letaknya erti kecantikan..

Ya Allah, sebagaimana Engkau cantikkan rupa parasku, Engkau cantikkanlah akan akhlakku..

Membina Singgahsana Idaman..

Rumahku berlantai simen, sejuk apabila dipijak.. Sungguh selesa.. Ku jenguk ke Negeri Sembilan, ku lihat rumah minangkabau.. Cantiknya atap rumah itu.. Ku singgah di Kuala Lumpur, tersergam indah pagar rumah banglo.. Ku jejak kaki ke Sarawak, penuh berseni dinding rumahnya.. Ku terbang ke bumi Ardhul Kinanah', adanya sutoh di imarah.. Alangkah indahnya jika aku mempunyai sebuah singgahsana lengkap dengan setiap ciri yang ku kagumi itu..


Namun begitu, adalah sangat mustahil untuk menjumpai sebuah kediaman yang setiap cirinya mengikut keinginan hati..

Aku melihat kepada orang kaya yang kedekut, maka aku berazam menjadi kaya dan membuang sifat kedekut itu.. Aku melihat orang alim yang sombong, maka aku berazam menjadi alim dan menjauhi sifat sombong itu.. Aku melihat orang cantik yang menunjuk-nunjuk, maka aku berazam menjadi cantik dan menyembunyikan kecantikan itu kecuali untuk mahramku..

Aku tidak ingin menjadi seorang raja yang memiliki sebuah singgahsana yang indah, tetapi aku ingin menjadi singgahsana itu sendiri, agar ruang hatiku dapat dihuni oleh permaisuriku dengan senang hati..
Akanku mencari nilai-nilai murni daripada setiap jiwa insani untuk ku satukan membentuk peribadi sendiri..

Peribadi Yang Tersembunyi..



Kenapa wujud pokok yang tinggi..? Kenapa wujudnya golongan atasan..? Kenapa ada cuaca panas..? Kenapa adanya terang..?

Jutaan soalan lagi lagi boleh dilontarkan dalam situasi yang sama.. Persoalannya, kenapa berlaku demikian..?



Itulah peribadi yang tersembunyi, yang sering tidak kita sedari, yang membuatkan kita mempunyai spekulasi sendiri, padahal hakikat kehidupan ini mempunyai banyak erti..

Aku melihat pada gunung Kinabalu, baru ku tahu Gunung Everest itu tinggi.. Aku bangun di siang terang, baru ku tahu adanya malam kelam.. Aku melihat pada kejahilan, baru ku tau banyaknya cendekiawan dan ilmuan..

Hakikatnya, Allah Taala menjadikan sesuatu itu indah, bergantung pada kita untuk membuat nilai ukurannya.. Kita tinggi dalam kalangan rendah, kita alim dalam kalangan jahil, kita kuat dalam kalangan lemah.. Adakah kita sedar, bahawa kita juga rendah dalam kalangan tinggi, jahil dalam kalangan ulama', lemah dalam kalangan kuat..?

Tatkala kita merasakan kita mempunyai kelebihan, pandanglah kepada mereka yang mempunyai kelemahan, agar kita tidak menyalahgunakan anugerah Tuhan.. Tatkala kita merasa lemah, ketahuilah bahawa masih ramai lagi yang lebih lemah daripada kita, agar kita tidah putus asa daripada rahmah Tuhan..
Malam akan hilang tatkala terbitnya mentari..

Titik Permulaan..


Alhamdulillah, segala puji ku rafa'kan kehadrat Ilahi, selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah Habibullah S.A.W, juga ke atas kerabat dan sahabat Baginda sekaliannya..
Pada hari ini aku mencoretkan satu titik bukan sebagai noktah, bahkan sebagai permulaan kehidupanku di alam maya.. Aku menulis bukan untuk dibaca, mempamerkan bukan untuk dilihat, menzahirkan bukan untuk diterima.. Cuma aku inginkan meluahkan segala yang tersirat di hati, untuk dikongsi bersama jiwa-jiwa yang boleh diisi, bunga-bunga cinta yang mekar mewangi, ayat-ayat cinta yang indah bersemi, mawar berduri pilihan hati dan permata yang menyinari hidup ini..

Memberiku bukan untuk balasan, kesalahanku untuk diperbetulkan, taubatku menambah ketaqwaan, tingkahku sebagai cerminan.. Senyumanmu, membawa kebahagiaan..
Tak kenal maka tak cinta, ta'ruf pembuka bicara.. Seorang hamba di permusafiran, sentiasa kesepian dalam keramaian.. Senyumku dalam kedukaan, kebahagiaan sahabat membawa keriangan.. Mencari ilmu di negara orang, dengan harapan membawa sinaran.. Umur yang tidak melambangkan kematangan, rupa yang tidak melambangkan kedudukan..
Luahanku bukan untuk difahami, kerana hanya aku sendiri yang lebih memahami..
Ya Allah, tunjukilah aku kebenaran itu tetap kebenaran dan dorongilah aku untuk mengikutinya, tunjukilah aku akan kebatilan itu tetap kebatilan, dan dorongilah aku untuk menjauhinya..